i follow..

Friday, September 13, 2013

GENERASI ALAF BARU VS ERTI MERDEKA


MERDEKA..MERDEKA..MERDEKA
DAULAT NEGARA TEMPAT TUMPAHNYA DARAHKU

Kata orang, Merdeka itu satu kebebasan, satu nikmat yang dihadiahkan oleh nenek moyang kita, para pejuang dan para pemikir yang satu masa dahulu bersusah payah mencari jalan dan berjuang untuk membebaskan negara dari kongkongan penjajahan.

Itu maksud mudah acap kali perkataan "Merdeka" itu dituturkan oleh setiap rakyat Malaysia. Namun di satu sudut timbul satu persoalan yang barangkali menjalar juga bagi sesetengah pemikir masa kini. Apakah "Merdeka" dahulu sama dengan "Merdeka" sekarang? Apakah 56 tahun dahulu, semangatnya itu tidak luntur? Apakah rakyat kini benar-benar menghayati erti kemerdekaan itu?

"...merdeka itu bukanlah suatu bendayang mudah boleh didapat, melainkan ialah dikehendaki untuk mendapatkannya itu iaitu pengorbanan yang sebenar pengorbanan."
Tunku Abdul Rahman 
Perdana Menteri Malaysia Yang Pertama


Hakikatnya, dalam soal kesejahteraan negara, ada mungkin terlihat kini bahawa permainan perkauman seringkali ditiup, cuba bersikap prejudis di antara satu sama lain. Di saat kononnya slogan Satu Malaysia diungkapkan sesetengah pemimpin, di saat itu jugalah slogan perkauman dilaungkan. Apakah kepentingan politik itu telah menenggelamkan semangat bersatu padu di antara kaum?


"...Hari Merdeka ialah hari Kebangsaan kita. Marilah kita membanggakan negara kita dan sentiasa berjaga-jaga supaya tidak dipengaruhi oleh fahaman Kebangsaan yang sempit. Jika fahaman Kebangsaan yang sempit itu dibiarkan hidup dengan perasaan yang meluap-luap maka sifat bertolak ansur dan tali persahabatan kita dengan negeri- negeri lain yang bebas akan terkecewa. Dengan yang demikian maka terganggulah keamanan dan ketenteraman dunia...."
Tun Abdul Razak Dato' Hussein
Perdana Menteri Malaysia (1970-1976)

Itu mungkin sedang berlaku kini. Tsunami politik yang melanda pada tahun 2008, dan pembantaian tsunami itu muncul lagi untuk gelombang kedua pada tahun 2013, menyaksikan bahawa arena politik tanah air berubah sekelip mata. Bermula saat itu jugalah, percaturan politik dilihat berubah secara drastik sehingga ada ketikanya dikatakan bahawa peristiwa 13 Mei akan berulang lagi.

Mungkin atas alasan survival politik, maka terdapat segelintir pemimpin itu tanpa berfikir panjang terus mencetuskan permainan politik kaum yang ternyata berifat rasis dan prejudis. Disebabkan kepentingan diri inilah, maka jurang perkauman di antara kaum mula melebar.

"...Tuan-tuan sekelian, akhirnya sayasuka berpesan dan berharap semoga tuan-tuan dapat menunjukkan semangat keperwiraan dan taat setia yang tidak berbelah bagi pada setiap masa. Tuan-tuan hendaklah sentiasa berwaspada terhadap ancaman-ancaman yang hendak merosakkan ketenteraman dan kedaulatan negara. Di samping itu tuan tuan juga hendaklah sentiasa bersiap sedia untuk mempertahankan negara dan memberi perkhidmatan pada masa-masa kecemasan apabila dikehendaki oleh negara kita..."
Tun Hussien Onn
Perdana Menteri Malaysia (1976-1981)

Setelah 56 tahun merdeka, apakah rakyat benar-benar merdeka dari penjajahan pemikiran bersifat perkauman? Satu tanda tanya yang barangkali hanya mampu dijawab oleh rakyat Malaysia sendiri.

Itu belum masuk sudut akhlak dan moral anak muda pada hari ini. Prinsip kegamaan itu kelihatan mula pudar dalam kalangan anak muda. Paling meruncingkan, krisis moral mencapai satu tahap yang membimbangkan tatkala soal hukum dan hakam agama itu diketepikan dan dijadikan satu permainan. Zina berleluasa, arak pula menjadi satu minuman kebiasaan. Tiada lagi rasa malu tatkala dosa dilakukan. Hiburan melampau menjadi satu kebudayaan, yang andai dibiarkan untuk satu tempoh, akan menjadi darah daging generasi hari ini, hingga sampai ke satu tahap harus dan menjadi kemestian buat anak-anak muda.


"Sepanjang sejarah manusia, proses ini berlaku. Ianya harus menjadi pelajaran kepada kita. Jangan kita mendewakan perpecahan, sebaliknya hendaklah kita menerapkan perpaduan semoga apa yang telah kita capai tidak akan hancur, bahkan kemajuan yang lebih tinggi dapat dicapai."
- Tun Dr Mahathir Mohamad,
Perdana Menteri Malaysia (1981-2005)

Umur 56 tahun menyaksikan perubahan pemikiran dan semangat kebangsaan dalam kalangan generasi hari ini. Sesungguhnya, satu tindakan bersepadu dan konkrit pelu dibuat bagi memperbetulkan minda dan budaya masyarakat hari ini. Pengekalan identiti bangsa itu dilihat semakin pudar, ditakuti akan tiba masanya nanti, rakyat Malaysia menjadi masyarakat yang memiliki budaya 'celupan' dari bangsa-bangsa lain.

"...Sesungguhnya, segala kejayaan yang dicapai hari ini ditunjangi oleh usaha dan pengorbanan pejuang-pejuang kita yang terdahulu.Tunku Abdul Rahman telah berjuang bagi mencapai kemerdekaan, Tun Abdul Razak berusaha gigih bagi membawa pembangunan, Tun Hussein Onn memerah keringat bagi memupuk perpaduan rakyat dan Tun Dr.Mahathir telah menentang arus bagi mencipta pemodenan. Mereka sebagai pemimpin kita bersama rakyat sekalian telah membawa Malaysia ke tahap ia berada hari ini..."
-Tun Abdullah Ahmad Badawi, 
Perdana Menteri Malaysia (2003-April 2009)

Menjadi tanggungjawab rakyat generasi baru hari ini untuk mengenang dan menghayati erti kemerdekaan. Tugas kita pada hari ini adalah memenuhi dada dengan ilmu pengetahuan agar kemerdekaan yang dimiliki dapat dipertahankan dan dikekalkan. Tanpa ilmu pengetahuan, kemerdekaan yang baru sahaja diperoleh amat rapuh


"Ayuhlah, Rakan dan taulan, sahabat dan saingan, Lupakan beza lebuhkan menerima
Bertatihlah bersamaku, Kita berjalan seiringan, kita melangkah ke sehaluan
1 suara, 1 impian, 1 harapan, 1 Malaysia'
- Dato' Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak

Sama-sama berfikir sejenak, merenung kembali erti kemerdekaan yang sebenar. Moga, keamanan dan kesejahteraan yang dinikmati ini akan kekal untuk hari-hari mendatang.



SALAM.MERDEKA





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...